Sunday 29 September 2013

Refleksi untuk Kemahiran Belajar (GKB1053)


Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya dengan limpah dan kurniaNya, dapat juga saya siapkan kerja kursus Kemahiran Belajar dengan jayanya. Dalam usaha saya untuk menyiapkan kerja kursus ini, terdapat pelbagai halangan yang telah saya tempuhi dan pengalaman berharga yang saya peroleh. Pengalaman yang saya peroleh dalam menyiapkan kerja kursus ini sedikit sebanyak menjadikan saya seorang insan yang lebih berpengetahuan dan berfikiran kritis.

Saya telah membuat satu blog kerana ingin menepati syarat kerja kursus untuk mata pelajaran Kemahiran Belajar (GKB1053). Sepanjang penubuhan blog ini dilakukan, terdapat banyak pengalaman yang dapat saya dan rakan-rakan timba. Sesungguhnya, pengalaman tersebut sangatlah penting dan bermakna kepada kami. Belajar membuat blog mengajar kami cara untuk mendekatkan diri kami dengan dunia teknologi kini yang berkembang pesat dan pantas. Kami harus pandai mencari maklumat dengan hanya menekan papan kekunci. Contohnya, bukan senang untuk katak dalam tempurung seperti kami untuk menambah 'widget-widget' ke dalam blog kami agar lebih menarik. Oleh itu, kami haruslah rajin mencari laman-laman sesawang yang ada menyediakan cara-caranya. Selain itu, kami juga saling bekerjasama membantu dan mengajar sesama kami agar sama-sama dapat mencantikkan dan memperhebatkan blog masing-masing.

Kami sedar jika kami tidak belajar untuk keluar dari tempurung, kami akan sentiasa tidak berkembang seiring dengan kemodenan negara dan akan jauh ketinggalan berbanding orang lain. Kami juga sedar, anak-anak kampung seperti kami hendaklah turut bangkit mempelajari ilmu teknologi ICT agar dapat mencapai taraf yang sama seperti orang lain yang hidup di bandar. Sesungguhnya kemahiran ICT sangat penting bukan sahaja dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tetapi turut penting dalam kehidupan moden kini yang mana semua maklumat boleh diakses di hujung jari dan dunia kini tanpa sempadan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pensyarah kami iaitu Encik Hamzah bin Dollah atas segala bimbingan dan tunjuk ajar yang diberi sepanjang tempoh kerja kursus ini dilaksanakan. Tidak lupa juga kepada kedua ibu bapa yang banyak menyokong serta rakan-rakan yang banyak berkongsi pengalaman dan idea-idea bernas dalam penubuhan blog ini.

Antara masalah yang saya hadapi ialah kekangan masa. Sebagai seorang bakal guru, pengurusan masa merupakan perkara penting yang saya harus kuasai terutamanya jika hendak menyiapkan sesuatu kerja dalam masa yang telah ditentukan. Masa yang telah diperuntukkan untuk menyiapkan kerja kursus ini adalah selama sebulan. Masa tersebut sebenarnya mencukupi, namun tanpa pengurusan masa yang baik, banyak masa berharga telah terbuang begitu sahaja. Hal ini demikian kerana dalam tempoh pelaksanaan tugasan ini, saya leka dengan hiburan yang ada di sekeliling saya seperti Facebook, Twitter dan lain-lain. Disebabkan itu, saya sering menangguhkan tugasan saya ke masa yang lain. Setelah saya sedar betapa pentingnya untuk saya menyiapkan tugasan ini demi kepentingan diri sendiri, saya mengambil jalan penyelesaian dengan membahagikan masa untuk membuat kerja kursus dengan masa untuk berehat dan belajar. Akhirnya, saya berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan tepat pada masanya. 

            Selain, itu, saya telah mendapat banyak maklumat baru yang selama ini saya tidak pernah tahu. Saya boleh memanfaatkan ilmu baru tersebut kelak apabila saya telah berjaya menjadi seorang pendidik. Sesungguhnya, ilmu yang saya perolehi itu tidak akan saya sia-siakan. Tambahan lagi, saya dapat meningkatkan penguasaan saya dalam menggunakan aplikasi di komputer seperti Microsoft Word, Microsoft Office Power Point dan Microsoft Office Excel dan  kerana selama ini saya hanya mengetahui asas penggunaan aplikasi tersebut.

No comments:

Post a Comment